MANCHESTER – MSS Kedah tampil penuh bergaya pada aksi kedua Piala Premier Nike Manchester United (MUPC) 2010 kelmarin.
Mereka seri tanpa jaringan dengan wakil Australia, Sutherland Sharks FC yang sebelum itu menewaskan wakil Amerika Syarikat, Alta Loma Arsenal FC 2-0 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan 3.
Aksi kedua itu sepatutnya milik MSS Kedah tetapi peluang yang mereka peroleh dipersia-siakan.
Sutherland Sharks bukan calang-calang pasukan. Mereka memiliki gaya permainan menakjubkan selain memiliki kelebihan fizikal.
Namun, ia bukan halangan buat pemain muda MSS Kedah yang dilihat lebih yakin dan berani memberi saingan kepada lawan mereka yang lebih berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa itu.
Andai penyudah jentera serangan MSS Kedah kemas, tiga gol sudah pasti dalam genggaman tetapi sayang, ia tidak dipergunakan sebaik mungkin.
Serangan balas memang menarik dan strategi hantaran bola rendah sering memerangkap pemain lawan, tetapi penyudah yang lemah menafikan mereka memperoleh jaringan.Apa pun, gaya permainan yang dipamerkan skuad muda bimbingan jurulatih Barkis Ismail itu memang menjanjikan masa depan yang cerah.
Apa yang mereka perlukan hanyalah pendedahan yang lebih kerap dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.
Pada usia 15 tahun, mereka sudah memperlihatkan kematangan dan jika mahu melihat mereka pergi lebih jauh, bakat yang ada pada pemain-pemain muda ini tidak harus dipersia-siakan.
“Saya bangga dengan komitmen semua pemain. Walaupun mereka datang ke bumi Manchester tanpa pengalaman yang cukup, tetapi gaya permainan yang ditonjolkan memang membanggakan.
“Mereka yakin dengan kemampuan diri. Mereka juga yakin untuk menyaingi lawan yang lebih ternama, dan semangat inilah yang telah membantu mematangkan gaya permainan mereka,” kata Barkis.
Kemahiran, kebolehan serta keberanian semuanya dimiliki oleh barisan pemain-pemain muda ini.
Kekurangan mereka hanyalah pendedahan di pentas yang lebih kompetitif seperti mana yang dilalui oleh rakan sebaya mereka dari negara-negara lain.Inilah yang seharusnya dilihat dengan lebih serius oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu keberanian untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda yang mempunyai potensi untuk menjadi seorang bintang satu hari kelak.
Berdasarkan aksi yang dipamerkan oleh barisan muda negara ini, Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pemain berbakat dan sudah pasti ramai lagi yang belum diterokai bakat mereka.
Dari Perlis hingga ke Sabah, pasti ada 11 pemain berusia bawah 15 tahun yang mempunyai bakat luar biasa untuk digilap menjadi pemain bintang.
Jika MSS Kedah mampu, kenapa tidak FAM.?